30 May 2009

BERIKANLAH

Semalam,
Sepertinya sudah gagah melangkah

Tapi,
Hari ini bagai perlu dipapah

Ya ALLAH..
Berikanlah aku makna tabah

Terkadang rasa sudah cukup kuat untuk meneruskan pengembaraan ini.. Rupanya masih ada segaris warna yang tetap juga mahu ikut bersama.. Berikanlah kekuatan Ya ALLAH.. Aku mohon, rasa gundah dan takut ini pergi.. Peperiksaan akhir-sangat berharap tidak akan ada lagi tragedi-tragedi yang boleh 'membunuh' di saat-saat akhir nanti- Sejujurnya, hati ini amat fobia dengan tarikh-tarikh ulangtahun apalagi tarikh-tarikh peperiksaan akhir! Berikanlah kekuatan Ya ALLAH.. Aku mohon.. Sesungguhnya hati ini terlalu jauh dari-Mu tapi tiadalah lagi yang lain tempat untuk aku merebahkan rasa-rasa yang membungkus diri ini.. Bonda, doakanlah.. Hari ini anakanda sekali lagi 'hilang' patah-patah tatkala menadah.. Berikanlah kekuatan Ya ALLAH.. Walau diriku masih di bawah..

30 MEI 2009 (7.00PM)
KDE

28 May 2009

SALAM DARI BONDA

Salam dari bonda
Aku sambut ceria
Sembang-sembang seketika
Mengulum senyum gembira
Sekian lama tidak bertanya
Akhirnya ayat-ayat bonda
Membuat aku terkesima

Alahai bonda
Maafkanlah anakanda
Kerana anakanda sudah tak punya
Jawapan yang sejujurnya
Sekadar berbahasa menutup kebenaran
Mungkin bonda dilanda kehairanan
Biarlah ia berlalu jangan lagi dipersoalkan

Maafkanlah anakanda.. Duhai bayu malam, sampaikanlah salam dari bonda itu..

28 MAY 2009 (7.00PM)
KDE

25 May 2009

SAMPUL KUNING

Kerana sampul kuning
Di urut kepala yang tak pening
Siapa dia yang mengirim
Khabarkan agar hilang runsing

Kerana sampul kuning
Di urut kepala yang tak pening
Siapa dia yang menghantar
Setem bunga berbau atar

25 MAY 2009
KDE

22 May 2009

KERANA HARI LAHIR!

Harap ada secalit berkat
Tarikhnya jatuh hari jumaat
Hari yang dijanji berlaku kiamat
Mohon dikurnia akal sihat

Harap ada secalit berkat
Tarikhnya jatuh hari jumaat
Hari yang sunat untuk berakad
Mohon dilimpah dengan rahmat

Harap ada secalit berkat
Tarikhnya jatuh hari jumaat
Hari yang tertulis Adam wafat
Mohon diajar makna kuat

Harap ada secalit berkat
Tarikhnya jatuh hari jumaat
Hari yang mati akan terselamat
Semoga diterima amal ibadat

Harap ada secalit berkat
Tarikhnya jatuh hari jumaat
Hari yang hadir para malaikat
Semoga berjaya dunia akhirat

Dalam dada berdebar kencang, gusar sesuatu akan berulang.. Makanya aku harus lebih berdiam.. Masih dipilih Tuhan untuk menjadi khalifah walau kolam dosa masih terlimpah.. Usia yang menginjak ke angka 21, hukum jatuh wajib untuk aku tabah meneruskan hari-hari yang baru.. Hendak diceritakan, didefinisikan, diolahkan, dikongsikan atau mungkin dicanangkan akan 'betapa' sampai sudah tiada penghujungnya.. Walau dalam riuh dan ramai manusia keliling, kadang hidup terumbang-ambing.. Kadang hidup terasa bersalah.. Kita manusia lumrahnya berbuat dosa.. Jujur, ada ketikanya sesuatu melintas, harapan hanya pada Tuhan untuk mencantas.. Apapun cakap-cakap belakang, harus aku hadap dengan tenang.. Kalau cuma yang buruk dikenang orang, apalah daya aku melarang.. Aku bukanlah manusia yang baik, tapi aku akan berusaha untuk tidak lagi menjadi jahat.. Aku tak akan mungkin lagi membuat semua manusia suka pada aku.. Sesuatu yang sudah tercalar sukar untuk dikilatkan kembali.. Tak mengapalah asal Tuhan ampunkan besar dosaku juga Muhammad sanggup syafaatkan aku.. Besar harap dan berat tanggungjawab perlu digalas dengan hati yang ikhlas.. Terima kasih wahai kekanda-kekanda, faham benar aku akan maksud yang tersirat disebalik ucap selamat kala aku terasa sedih amat.. Permintaan kalian hanyalah-jangan putus asa- insyaALLAH, doakanlah aku akan sentiasa kuat.. Maafkanlah kerana telah jauh tersasar.. Ampunkanlah Tuhan atas semalam yang berkalut rasa.. Berikanlah aku kekuatan untuk tidak lagi bermaksiat kepadaMu.. Kerana aku ragu ada dan tiada ku..

Ketika umur merangkak ke angka 21
Ada kasih juga rindu emansipasi jiwa ini
Tuhan sinarilah hatiku dengan cahayaMu

22 MAY 2009 (3.00am)
KDE

MURKA

Syaitan ralit bercumbu dijiwa
Nikmat Tuhan pun didusta
Sunnah Nabi juga dipersenda
Manis usia turut dipersia

Iblis galak mentertawa
Bila hidup diwarna airmata
Mahu dikhabar rasa kecewa
Sayang Dia sudah murka

Kadang terasa sakitnya..

22 MAY 2009 (2.15am)
KDE

21 May 2009

KONGSI RASA

Isu semasa gegar pentas

Oleh Hasnidarwina Hasim
bhsastera@nstp.com.my

Mat rempit, selesema babi dan Melayu kian dicabar dapat perhatian deklamator

ISU semasa, mat rempit yang meragut hingga membawa kepada kematian mangsa dan seleseme babi mendapat perhatian deklamator pada Malam Baca Puisi Pena yang menampilkan Kumpulan Kreatif Management Science University (MSU) pimpinan Solihin Osman selaku hos.

Solihin pada acara di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, melontarkan kemarahannya terhadap kejadian ragut yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini hingga meragut beberapa nyawa tidak berdosa termasuk dua ibu hamil lewat puisinya, Si Penyambar Itu.

Aduh datang lagi si penyambar itu

si mata merah dan tangan hitam

meragut dalam terang

sebuah tas tangan putih

ada jalinan bebunga melur

lesap bersama nafas

yang tinggal sejuta kerisauan

aspal ditenggelami air mata

angkara si bedebah

binatang yang bermimpi

sebuah syurga dari setan yang dilaknati.



Cis, celakanya kalian si penyambar

sepatutnya disambar petir Subuh

rentung dibakar api dosa

lontaran dari neraka kami

kerana ganas kejamnya kalian

melebihi Firaun yang gila

dan iblis yang nyata berdusta.



Penggiat teater, Khalid Salleh, seperti biasa tidak pernah mengecewakan khalayak apabila memecahkn keheningan malam dengan puisi sinis menyengat, Selesema Babi menyebabkan seantero dunia celaru dan bimbang dengan wabak H1N1 yang membawa kematian.



Mexico City

babinya tiba-tiba

menggemparkan dunia

bawaan wabak selesema

yang dikaitkan dengannya

membunuh manusia

dalam perenggan beberapa ketika saja.



Selesema babi

memang sangat berbahaya

mengancam kehidupan manusia

menanamkan kebimbangan dan ketakutan

menyebarkan keporak-porandaan

melumpuhkan makna peradaban

menyemai kesangsian dan kecurigaan.



Segala keburukan

kekotoran dan kegelojohan

adalah musibah dari makna kebabian

setiap babi yang memang menggugat

keamanan dan keselesaan manusia

di dunia ini.



Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad atau lebih dikenali Ron, dengan semangat berkobar-kobar mempertahankan nasib Melayu yang kian hilang haknya di tanah air sendiri atas alasan integrasi lewat puisi, Puisi Gegaran Suara Pribumi.



Tiba-tiba saja kau jadi geger

menyalak dan melalak

bagaikan anjing menengking bukit

dari satu kampung ke satu tanjung

dengan kata nista menyayat jiwa

bahawa pribumi bukannya pribumi

bahawa Melayu bukannya Melayu.



Dikau memang bertaraf saudara

tapi bukannya sedarah sedaging

atas ihsan sesama insan

kau diberikan suatu rahmat

menumpang kasih sepanjang hayat.



Sesudah kapas menjadi benang

tenunlah kain salinan satria

sejarah lepas mesti dikenang

di situlah kelainan antara kita.



Mantan Ketua Bahagian Majalah DBP, Jajuli Abdul Rahman, membawa penonton mengimbau sejarah pembentukan Malaysia yang tak pernah lekang dengan isu penjajahan orang Inggeris yang masih belum terhakis, biarpun Malaysia sudah 52 tahun mengecapi kemerdekaan lewat puisinya, Wisata Roh 7 Zaman.



Wisata zaman kedua

batu 2 No. 1824 (Hingar bangar)

hai Hussin! Man Rabbuka?

kenapa kamu serah Singaura kepada Raffles?

diatipu aku!

kaumabuk, jual agama dan Melayu untuk dunia!

kau salah dan dihukum!

wong mati dadi medi x 5 + dadi medi x 5.



Wisata zaman keempat

batu 2 No 1957

PM Malaysia

man Rabbuka?

depakata Allah Rabbi

kenapa kamu pakai sisitem jus soli?

saya terpaksa, British paksa, depa pun nak!

kenapa tak buat perjanjian - Jizyah?

tak berani!

kamu ingkar! kamu dihukum.

saya ada buat masjid, baca Quran ... bla ... bla ...

hukuman ditangguhkan

wong mati dadi medi x 5 + Dadi medi x 5.



Penyanyi Hijjaz Records Sdn Bhd, Lia Azzahra, memeriahkan malam terbabit dengan dendangan suaranya di samping muka lazim pada acara ini, Zaen Kasturi, Dr Ibrahim Ghaffar, Fauziah Nawi, Ahmd Sarju, Yassin Salleh, Mohd Adzlan Sulong, Dr Sri Intan, Azie Azah, Dr Ahmad Razali Yusof, Mas Adeki, Rosanubari Asmaramah dan Zainab Talib.

Sumber

SUNYI

(Sunyi, amat!)

Aku mahu berhenti
Soalnya aku sunyi
Salahkah berkasut Nike?
Bukannya aku curi

Aku mahu berhenti
Soalnya aku sepi
Salahkah makan KFC?
Bukannya aku beli

Aku mahu berhenti
Soalnya aku sendiri
Salahkah turut merai?
Bukannya aku isteri

Rasa-rasa yang kadang tak perlu diperkata..

21 MAY 2009 (3.03am)
KDE

SAHABAT

(Selamat Hari Lahir, Sahabat!)

Kerana kita sebaya

Kadang aku susah
Kalian ada di sana
Kerana kita sebaya

Kadang aku marah
Kalian ada di sana
Kerana kita sebaya

Kadang aku lemah
Kalian ada di sana
Kerana kita sebaya

Dedikasi untuk teman-teman seperjuangan, Ijazah Sarjana Muda Bioperubatan (Kepujian).. Selamat Hari Lahir Semua!

21 MAY 2009 (2.30am)
KDE

KEKANDA

(Kekanda ku, Selamat Hari Lahir!)

Jam dua belas
Tangan amat culas
Kerana menghadap kerja
Hampir aku terlupa

Aku kirim pesan
Selamat Hari Lahir Kekanda!
Tapi tiada balasan
Aku kira kau ketiduran

Masih aku nantikan sebarang utusan, tapi tetap juga kesunyian.. Maafkanlah.. Kekanda diuji denggi dan cacar air beberapa bulan yang lalu.. Kerana kanda kuat, makanya kanda diuji hebat! Semoga sekarang sudah sihat sejahtera hendaknya.. Selamat Hari Lahir Kekanda!

19 MAY 1981

21 MAY 2009 (2.15am)
KDE

SIBUK

(Bila disibukkan oleh dunia)

Aku rasa berdosa
Bila yang misscall adalah bonda
Kerana berusaha untuk melupa
Ku sibukkan diri dengan dunia
Hingga aku alpa pada yang di sana

Aku rasa berdosa
Bila bonda yang mengucap
'Selamat Hari Ibu' di hujung cakap
Kerana berusaha untuk melupa
Ku sibukkan diri dengan dunia
Hingga aku alpa akan mahalnya harga

Maafkanlah bonda, aku sedang berusaha!

21 MAY 2009 (2.05am)
KDE

18 May 2009

KERANA DIA

Semalam,
Batang-batang pena ku telah kekeringan dakwat
Lembaran madah-madah cinta bertebaran terbang
Derap langkah sudah tiada lagi berbunyi

Tapi,
Aku mulai kembali
Bukan di sana tapi di sini
Kerana dia...
Lelaki!

18 MAY 2009 (7.29am)
KDE

Newer Posts Home