03 November 2010

Biar aku menjadi MATAHARI

Bilamana saya diajukan persoalan yang bagaikan menikam tangkai jantung saya sendiri, saya jadi muhasabah. Pertanyaan diajukan agar saya boleh memberikan sebuah jawapan yang bisa membantu meringankan, tapi hati sendiri pula jadi rawan. Banyak-banyak saya tak pandai, inilah sekadarnya buat renungan diri sendiri terutamanya. Hidayah itu milik ALLAH :)

Menurut Imam Hasan Al-Basri, dunia ini hanya ada tiga hari. Hari kelmarin yang sudah berlalu dan kita tidak mampu lagi untuk mengubahnya. Hari esok, adalah misteri yang kita tidak tahu apakah kita akan masih memiliki kesempatan berada di dalamnya. Dan hari ini, kesempatan untuk kita melakukan amal soleh.

Fitrah jiwa manusia pastilah mahu kembali kepada Tuhan, Pencipta jasad dan jiwa. Apabila berinteraksi dengan diri, tidak boleh berasa aman dan tenteram, tidak boleh berasa puas dengan sedikit amalan. Kerana kita semua adalah pendosa, maka hidupkanlah jiwa kita agar sentiasa dekat dengan Maha Pencipta. Manusia mana tidak melakukan dosa, kalau tidak masakan kita bergelar manusia. Kan?

Perasaan biasanya dikawal hati, fikiran oleh akal. Jadi, jawapan atau keputusan terbaik harus datang dari akal, akal yang wajib memimpin hati kerana kadang-kadang hati dibauri nafsu. Seandainya ALLAH memberikan kifarah atau hukuman atas kesilapan lampau, maka redhalah. Berlapang dada dan mohonlah kekuatan dariNya. Bukan senang tapi berusaha, berusaha & berusahalah tanpa lelah.

Tidaklah semudah saya menaip di sini untuk kita menerima, saya percaya. Kerana syaitan itu pasti sahaja mahu beraja. Bisa saja kita kalah semula oleh bisikannya. Pokok pangkalnya hati, kuatlah bertahan dan lawanlah sehabis daya disamping jangan berhenti berdoa pada Tuhan. Yakinlah Dia sentiasa bersama. Sejarah akan kekal sebagai sejarah kerana hakikatnya tiada sesiapapun yang dapat mengubah. Lakarlah kisah nan indah kerana hidup terlalu singkat untuk disia-siakan tanpa sebarang bekalan. 

"Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat seseorang hambanya selama nyawanya belum sampai di kerongkong"
(Hadis Riwayat Tarmizi) 

"Hai orang-orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan melakukan taubat yang sebenar-benarnya. Mudah-mudahan Allah menghapuskan kesalahan kamu" (Surah Al-Tahrim : Ayat 8)

Saya berpesan untuk diri saya sendiri, dan anda :) (Mungkin tak sampai maksud, tapi saya cuba) Kalaupun tidak banyak, saya harap ada secubit daripadanya dapat membantu. "Sampaikan pesanku biarpun satu ayat".. Wallahua'alam bissowab.. 

Kalau nak gugur gugurlah dosa, jangan menimpa rantingan iman; Ahmad Fedtri Yahya

KDE, 2 Nov 2010

Newer Post Older Post Home