KONGSI RASA
Isu semasa gegar pentas
Oleh Hasnidarwina Hasim
bhsastera@nstp.com.my
Mat rempit, selesema babi dan Melayu kian dicabar dapat perhatian deklamator
ISU semasa, mat rempit yang meragut hingga membawa kepada kematian mangsa dan seleseme babi mendapat perhatian deklamator pada Malam Baca Puisi Pena yang menampilkan Kumpulan Kreatif Management Science University (MSU) pimpinan Solihin Osman selaku hos.
Solihin pada acara di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, melontarkan kemarahannya terhadap kejadian ragut yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini hingga meragut beberapa nyawa tidak berdosa termasuk dua ibu hamil lewat puisinya, Si Penyambar Itu.
si mata merah dan tangan hitam
meragut dalam terang
sebuah tas tangan putih
ada jalinan bebunga melur
lesap bersama nafas
yang tinggal sejuta kerisauan
aspal ditenggelami air mata
angkara si bedebah
binatang yang bermimpi
sebuah syurga dari setan yang dilaknati.
Cis, celakanya kalian si penyambar
sepatutnya disambar petir Subuh
rentung dibakar api dosa
lontaran dari neraka kami
kerana ganas kejamnya kalian
melebihi Firaun yang gila
dan iblis yang nyata berdusta.
Penggiat teater, Khalid Salleh, seperti biasa tidak pernah mengecewakan khalayak apabila memecahkn keheningan malam dengan puisi sinis menyengat, Selesema Babi menyebabkan seantero dunia celaru dan bimbang dengan wabak H1N1 yang membawa kematian.
Mexico City
babinya tiba-tiba
menggemparkan dunia
bawaan wabak selesema
yang dikaitkan dengannya
membunuh manusia
dalam perenggan beberapa ketika saja.
Selesema babi
memang sangat berbahaya
mengancam kehidupan manusia
menanamkan kebimbangan dan ketakutan
menyebarkan keporak-porandaan
melumpuhkan makna peradaban
menyemai kesangsian dan kecurigaan.
Segala keburukan
kekotoran dan kegelojohan
adalah musibah dari makna kebabian
setiap babi yang memang menggugat
keamanan dan keselesaan manusia
di dunia ini.
Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad atau lebih dikenali Ron, dengan semangat berkobar-kobar mempertahankan nasib Melayu yang kian hilang haknya di tanah air sendiri atas alasan integrasi lewat puisi, Puisi Gegaran Suara Pribumi.
Tiba-tiba saja kau jadi geger
menyalak dan melalak
bagaikan anjing menengking bukit
dari satu kampung ke satu tanjung
dengan kata nista menyayat jiwa
bahawa pribumi bukannya pribumi
bahawa Melayu bukannya Melayu.
Dikau memang bertaraf saudara
tapi bukannya sedarah sedaging
atas ihsan sesama insan
kau diberikan suatu rahmat
menumpang kasih sepanjang hayat.
Sesudah kapas menjadi benang
tenunlah kain salinan satria
sejarah lepas mesti dikenang
di situlah kelainan antara kita.
Mantan Ketua Bahagian Majalah DBP, Jajuli Abdul Rahman, membawa penonton mengimbau sejarah pembentukan Malaysia yang tak pernah lekang dengan isu penjajahan orang Inggeris yang masih belum terhakis, biarpun Malaysia sudah 52 tahun mengecapi kemerdekaan lewat puisinya, Wisata Roh 7 Zaman.
Wisata zaman kedua
batu 2 No. 1824 (Hingar bangar)
hai Hussin! Man Rabbuka?
kenapa kamu serah Singaura kepada Raffles?
diatipu aku!
kaumabuk, jual agama dan Melayu untuk dunia!
kau salah dan dihukum!
wong mati dadi medi x 5 + dadi medi x 5.
Wisata zaman keempat
batu 2 No 1957
PM Malaysia
man Rabbuka?
depakata Allah Rabbi
kenapa kamu pakai sisitem jus soli?
saya terpaksa, British paksa, depa pun nak!
kenapa tak buat perjanjian - Jizyah?
tak berani!
kamu ingkar! kamu dihukum.
saya ada buat masjid, baca Quran ... bla ... bla ...
hukuman ditangguhkan
wong mati dadi medi x 5 + Dadi medi x 5.
Penyanyi Hijjaz Records Sdn Bhd, Lia Azzahra, memeriahkan malam terbabit dengan dendangan suaranya di samping muka lazim pada acara ini, Zaen Kasturi, Dr Ibrahim Ghaffar, Fauziah Nawi, Ahmd Sarju, Yassin Salleh, Mohd Adzlan Sulong, Dr Sri Intan, Azie Azah, Dr Ahmad Razali Yusof, Mas Adeki, Rosanubari Asmaramah dan Zainab Talib.
Post a Comment